msen
A- A A+

Sejarah Kesultanan Kelantan

Negeri Kelantan yang mempunyai sejarah sebagai tempat persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China itu.

Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Negeri Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Negeri Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Negeri Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).

Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.

Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara Raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "Kerajaan Mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675M (1086H).

1675-1721

Sultan Umar bin Raja Sakti

Raja Umar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Umar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah.

Sultan Umar bin Raja Sakti adalah seorang daripada 4 orang putera Raja Sakti yang memerintah Jembal, Kelantan pada abad ke-17.

Baginda dilantik sebagai raja Jembal selepas kemangkatan kekandanya Raja Bahar pada 1675. Pada tahun itulah baginda mulaï dikenal sebagai Sultan Umar. Sebelum itu, baginda dilantik menjadi Temenggung oleh ayahanda baginda, Raja Sakti I.

Kerajaan Jembal kembali masyhur di bawah pemerintahan baginda. Baginda memerintah seluruh Negeri Kelantan.Baginda mengadakan lawatan ke seluruh kawasan dan jajahan takluk Kelantan. Baginda juga telah mengadakan perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Kerajaan Pattani, China, Jawa dan negeri-negeri jiran seperti Terengganu.

1675-1721

1721-1734

Long Bahar @ Long Besar

Long Besar atau juga dikenali sebagai Long Bahar atau Tok Ku, adalah pemerintah kerajaan Jembal (Kedai Lalat sekarang) dari 1721 hingga 1733. Baginda berasal dari Patani yakni anak Datuk Pengkalan Tua yang menjadi raja di sana. Baginda kemudiannya merantau ke Kelantan bersama ayahandanya lalu berkahwin dengan Raja Nah puteri Sultan Umar, pemerintah Jembal ketika itu. Sebelum itu, bagindah telah mempunyaï isteri di Patani.


Baginda memerintah Jembal selama 12 tahun, berikutan kemangkatan Sultan Umar dan penyerahan takhta Jembal oleh Raja Kecil Sulung putera Sultan Umar. Dengan pelantikan sebagai raja di Jembal itu, maka berakhirlah keturunan Puteri Saadong yang selama ini memerintah Jembal, dan bermulalah pula keturunan baru yang memerintah Kelantan hingga kini.


Sebelum itu, pada 1702, baginda membina Istana Sening (dekat Jembal) dan tinggal di sana. Kemudian, pada 1702, baginda membina pula sebuah kota di Kubang Labu (Wakaf Bharu kini), dikenali sebagai Kota Kubang Labu. Apabila baginda dilantik sebagai raja di Jembal, Kota Kubang Labu diserahkan baginda kepada Long Sulaiman, anakanda baginda dengan isteri baginda di Patani.[1]


Baginda mangkat pada 1733 dan dipercayai dimakamkan di Kampung Tok Ku, Kedai Lalat, Kota Bharu.

1746-1756

Long Sulaiman bin Long Bahar

Long Sulaiman bin Long Bahar merupakan pemerintah Jembal dan Kota Kubang Labu iaitu dua buah kerajaan di Kelantan pada abad ke-18M. Baginda merupakan putera Tuan Besar Long Bahar dan dilantik menggantikan ayahandanya pada 1733. Baginda memerintah hingga 1756M.

Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Baginda mangkat dibunuh oleh menantu baginda, Long Deraman pada tahun 1756 di Kota Kubang Labu kerana perebutan kuasa.

Baginda dimakamkan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan, kira-kira dua batu dari Kota Bharu.

1746-1756

1758

Long Pandak

Pada 1758M, Long Pandak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pandak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan Negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

1765-1795

Long Yunus bin Long Sulaiman

Long Yunus bin Long Sulaiman dianggap sebagai Raja Kelantan pertama yang menyatukan keseluruhan negeri Kelantan seperti sekarang. Baginda dikatakan mula menaiki takhta pada tahun 1775 dan memerintah sehingga tahun 1794.

Long Yunus turut serta dalam rombongan Long Gaffar ke Terengganu. Semasa di Terengganu Long Yunus telah dikahwinkan dengan Tuan Chik Jumat, Chik Puan Balai Dua, anak perermpuan Engku Tenang Wangsa Terengganu. Sebagai membalas jasa di atas kesetiaannya terhadap Long Gaffar, Long Yunus pula telah diberikan kuasa memerintah meliputi kawasan pantai bermula di Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal sehingga Bukit Tanjung (Narathiwat). Walaupun diberikan kuasa memerintah wilayah tersebut, kuasanya adalah terbatas. Kuasa pemerintahan sebenar masih lagi berada di bawah kekuasaan Baginda Long Gaffar yang berpusat di Limbat. Long Yunus tidak boleh menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Baginda Long Gaffar di Limbat. Konsep pembahagian kuasa yang diasaskan oleh Baginda Long Gaffar ini terus diamalkan dan dihormati sehinggalah kemangkatan Long Yunus.

1765-1795

1795-1800

Tengku Muhammad

Menantu Long Yunus (suami Cik Ku Tuan Nawi) dan putera kepada Sultan Terengganu iaitu Sultan Mansor. Pemerintahannya tidak lama kerana kurang disenangi terutamanya oleh putera sulong Long Yunus iaitu Long Muhamad. Pemerintahan berakhir selepas berjaya dikalahkan oleh Long Muhamad pada 1801.

1800-1835

Sultan Muhammad I

Nama asal baginda Long Muhammad. Baginda merupakan putera sulung Long Yunus dan tidak mempunyai anak (digelar Marhom Mandul). Baginda telah mengambil anak Long Tan Temenggong Aria Pahlawan iaitu Long Senik Mulut Merah sebagai anak angkatnya.

1800-1835

1835-1836

Long Zainal

Long Zainal merupakan adik kepada Sultan Muhammad I dan memakai gelaran Yam Tuan Kelantan.

1836-1886

Sultan Muhammad II

Nama asal baginda ialah Long Senik Mulut Merah dan menggunakan gelaran Sultan Muhamad II. Baginda merupakan anak Long Tan Temenggong Aria Pahlawan dan menantu kepada Baginda Long Seri. Pada 1844 Istana Kota Bharu (kemudiannya dikenali sebagai Istana Balai Besar pada zaman Sultan Muhamad IV) telah dibina dengan mengambil tukang-tukang dari Limbat atas arahan Baginda Long Seri. Pada masa pemerintahannya, usaha-usaha bagi melemahkan penguasaan Limbat ke atas Kota Bharu giat dijalankan. Pada masa pemerintahannya juga menyaksikan peningkatan pengaruh Siam, ia dipercayai ada hubung kait dengan cubaan bagi mendapatkan pengiktirafan Siam terhadapnya sebagai pemerintah Kelantan.

1836-1886

1886-1890

Sultan Ahmad, Kelantan

Nama asal baginda ialah Long Sulong atau Long Ahmad, iaitu anak sulung Long Senik Mulut Merah. Baginda menaiki takhta pada tahun 1886. Sebelum itu Sultan Muhammad telah melantik Long Sulong sebagai Raja Kelantan. Pada 1887, baginda membina Istana Jahar.

1890-1891

Sultan Muhammad III

Nama asal baginda ialah Long Kundor iaitu putera sulong Sultan Ahmad. Baginda menaiki takhta pada tahun 1890 dan mempunyai tempoh pemerintahan yang singkat apabila baginda mangkat pada tahun 1891.[1] Semasa pemerintahan baginda timbul pertikaian dalaman berkaitan jawatan penting didalam kerajaan baginda apabila beberapa orang adinda baginda tidak diberi sebarang jawatan iaitu:

  • Long Mahmud
  • Long Salleh
  • Long Sulaiman
  • Long Yusoff
  • Long Abdullah
Di samping itu kerajaan Siam telah mula menunjukkan minat semula untuk meluaskan pengaruh ke Kelantan dan pada tahun 1890, Raja Siam telah melawat Kelantan.

1890-1891

1891-1898

Sultan Mansur (Raja Kelantan)

1898-1900

Sultan Mansur (Sultan Kelantan)

Nama asal baginda ialah Long Mansor iaitu putera Long Ahmad dan merupakan adinda Long Kundor. Baginda menaiki takhta pada tahun 1891 dan memerintah sehingga tahun 1899.

Di antara pembesar-pembesar negeri yang berpengaruh semasa pemerintahan baginda adalah:-

  • Datuk Maha Menteri Saad bin Ngah (Che Ha')
  • Datuk Sri Paduka Nik Yusof bin Nik Abdul Majid (Nik Soh bin Nik Jid)
  • Tok Hakim Kelantan, Syed Muhammad bin Syed Alwi

Pembesar-pembesar ini dengan sokongan pengikut-pengikut mereka amat berpengaruh di dalam menentukan pewaris takhta. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kerabat diraja yang tidak terpilih untuk menaiki takhta dan juga tidak mendapat sebarang jawatan di dalam kerajaan.

Pada masa pemerintahan baginda, iaitu pada 1891, Datuk Bahaman telah melarikan diri ke Ulu Kelantan

1898-1900

1900-1911

Sultan Muhammad IV (Raja Kelantan)

1911-1920

Sultan Muhammad IV (Sultan Kelantan)

Tuan Long Senik atau Sultan Muhammad IV ialah putera Long Kundur Baginda telah dilantik sebagai Raja Kelantan pada tahun 1897 semasa pemerintahan Sultan Ahmad. Baginda telah menaiki takhta pada tahun 1900 tetapi hanya mula memakai gelaran Sultan, pada tahun 1910, setelah menandatangani perjanjian dengan British untuk mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kelantan dengan syarat baginda menerima Penasihat British. Baginda memerintah sehingga tahun 1920.

Dalam zaman pemerintahan baginda Kelantan mencapai kemajuan yang pesat dalam bidang rohani dan jasmani yang menuju kearah permodenan, dengan sistem pemerintahan yang lebih demokrasi, kemas dan teratur dengan pembukaan pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah yang menjadi asas yang kukuh untuk Kelantan berkembang maju di zaman-zaman berikutnya.

1911-1920

1920-1944

Sultan Ismail

Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV ialah seorang sultan di Kelantan yang telah dimahkotakan pada tahun 1920 dengan gelaran Sultan Ismail berikutan kemangkatan ayahandanya, Sultan Muhammad IV. Baginda memerintah sehingga baginda mangkat pada tahun 1944 dan digantikan oleh adindanya Tengku Ibrahim.[1] Pada tahun 1915, Tengku Ismail yang pada ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota telah berkahwin dengan Tengku Nik Tengku Kaya Pahlawan

Sepanjang zaman pemerintahan Baginda Sultan Ismail negeri Kelantan Darulnaim terus berkembang maju dalam berbagai-bagai bidang terutama sebelum pendudukan Jepun di negeri Kelantan pada tahun 1941. Di dalam zaman pendudukan Jepun ekonomi menjadi meleset menyebabkan pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

1944-1960

Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV, adalah Sultan Kelantan dari tahun 1944 hingga 1960.

 

Baginda diputerakan pada 9 Ogos 1897 di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Baginda merupakan anakanda kepada  Sultan Muhammad IV Ibni Almarhum Sultan Muhammad III dan Sultanah Zainab. Pada 22 Jun 1911, ayahanda baginda telah melantik baginda sebagai "Tengku Sri Indra Mahkota ", dan menjadi bakal Sultan pada 21 April 1921.

Baginda bertugas sebagai Timbalan Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian mewakili kekandanya di Singapura 1942. Pada 20 Jun 1944, Baginda ditabal menjadi Sultan Kelantan di Istana Balai Besar berikutan kemangkatan kekanda Baginda, Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV. Pada tahun 1953 baginda berangkat menghadiri pertabalan Queen Elizabeth II.

Baginda mempunyai 3 isteri dan mempunyai 11 putera dan 12 puteri. Baginda mangkat pada 9 Julai 1960 di Istana Seri Cemerlang, Kota Bahru, pada umur 62 setelah memerintah selama 16 tahun dan diganti oleh  Sultan  Yahya Petra .

1944-1960

1960-1979

Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim

Al-Marhum Tengku Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim (10 Disember 1917 - 29 Mac 1979) merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang keenam.

Masa awal

Diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Tengku Yahya Petra menerima pendidikan agama semasa zaman kanak-kanak ketika baginda dibesarkan oleh ayahanda saudara Baginda, Sultan Ismail. Tengku Yahya Petra menerima pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang ketika berusia 14 tahun. Selepas empat tahun menuntut di sekolah ini, Almarhum Sultan Ismail menghantar baginda menuntut di England pada 1934.

Baginda berkahwin dengan Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra ketika berusia 22 tahun pada tahun 1939. Pasangan diraja ini dikurniakan seorang putera dan enam puteri. Putera tunggal Tengku Yahya Petra ialah Sultan Kelantan sekarang, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra. Empat orang puteri Baginda ialah Yang Mulia Tengku Mariam, Yang Mulia Tengku Rozan, Yang Mulia Tengku Salwani dan Yang Mulia Tengku Rohani.

Kerjaya

Tengku Yahya Petra dianugerahkan gelaran Tengku Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Sangat Dihormati (D.K.) oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Julai 1939. Untuk membiasakan diri, baginda dengan hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran, Tengku Yahya Petra telah dilantik untuk memegang pelbagai jawatan utama dalam kerajaan negeri. Baginda ialah Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan antara 1941 hingga 1947. Pada 2 April 1944, Baginda dilantik sebagai Penolong Ketua Pegawai Kewangan Negeri dan pada 6 Februari 1945, Baginda dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Bharu. Pada 1945 Tengku Yahya Petra dilantik sebagai Tengku Bendahara oleh ayahanda baginda, Sultan Ibrahim. Tengku Yahya Petra menjadi Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1953.

Semasa menjadi Tengku Mahkota, baginda turut terlibat sama dalam hal ehwal kerajaan negeri dan mengambil berat kebajikan rakyat. Semasa pemerintahan baginda (1948 - 1960), negeri Kelantan berada dalam keadaan darurat dan baginda tetap memberanikan diri dengan melawat kampung-kampung di kawasan pedalaman Kelantan.

Naik takhta

Tengku Yahya Petra ditabalkan sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan pada hari Ahad, 10 Julai 1960, dengan gelaran "Sultan Yahya Petra", untuk menggantikan ayahanda baginda, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Pada 6 Oktober 1966, Sultan Yahya Petra menjadi Kolonel Briged Artileri Malaysia.

Pada 22 Julai 1970, Sultan Yahya Petra dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja. Istiadat mengangkat sumpah diadakan pada 21 September 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975, Majlis Raja-Raja memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Semasa pemerintahan Baginda sebagai Yang di Pertuan Agong, anakanda Baginda, Dulia Yang Maha Mulia Tengku Ismail Petra menjadi Pemangku Sultan.

Sultan Yahya Petra mangkat ketika masih menjadi Yang di-Pertuan Agong, iaitu pada 29 Mac 1979.

Anugerah lain

Pada 5 Jun 1952, Tengku Yahya Petra menerima Order St. Michael dan St. George (C.M.G.) daripada Ratu Elizabeth II dari England.

Ketika negara meraikan sambutan ulang tahun pertama Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Tengku Yahya Petra telah dilantik menjadi Seri Maharaja, menerima Darjah Tertinggi Tanah Melayu, Seri Mangku Negara (S.M.N.) daripada Yang di-Pertuan Agong Pertama, Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sultan Yahya Petra juga menerima Darjah Kerabat yang lain-lain, antaranya:

1969: Darjah Kerabat Kedah.

1979- 12 September 2010

Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) 'Sultan lsmail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra merupakan Sultan negeri Kelantan Darul Naim kini. Baginda mula menaiki takhta pada tahun 1979, menggantikan ayahanda baginda iaitu al-Marhum Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ismail Petra. DYMM Tengku Anis Binti Tengku Abdul Hamid, merupakan Raja Perempuan Kelantan.

Baginda dianugerahi empat orang cahaya mata iaitu Yang Teramat Mulia  Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra (Tengku Mahkota Kelantan), Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra lbni Sultan Ismail Petra (Tengku Bendahara Kelantan), Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra lbni Sultan lsmail Petra (Tengku Temenggong Kelantan) dan Yang Amat Mulia Tengku Amalin A'ishah Putri binti Sultan lsmail Petra.

Istana Tuanku Sultan terletak di Kubang Kerian dan dikenali sebagai Istana Mahkota.

1979- 12 September 2010

 

 

 

Hubungi Kami

Pejabat Sultan Kelantan,
Istana Balai Besar,
15500 Kota Bharu KELANTAN

Telefon  : 09-741 6600

Fax        : 09-744 4333

Email    : pejsultan@kelantan.gov.my

 

 

KAUNTER PELAWAT

Hari ini220
Semalam290
Minggu ini1285
Bulan ini6046
Jumlah235267
1
Online

2024-04-26
Hak Cipta © 2024.Pejabat Sultan Kelantan. TARIKH KEMASKINI : 6 MAC 2023

Search